Sunday, 12 April 2015

ISU 5 : APA SUDAH TERJADI DENGAN IMBUHAN AWALAN 'beR-' DALAM KATA KERJA?

Isu 5 : Apa Sudah Terjadi dengan Imbuhan Awalan 'beR-' dalam Kata Kerja?

Apa dah jadi...
Apa dah jadi...
Sampai sekarang..
Tak kahwin lagi...

Seronoknya menyanyi. Rasa hilang segala gundah gulana di dalam hati tatkala mengadap tugasan-tugasan yang bertimbun. Jangan terpedaya. Penulis sudah berpunya dan telah bergelar 'Puan' dengan jayanya pada tahun lalu :). Nyanyian sekadar 'pembuka tirai' kepada isu yang bakal dikupas pada hari ini. 

Imbuhan awalan 'beR-' telah diperkenalkan oleh guru-guru sejak di sekolah kebangsaan lagi. Tidak mustahil jika ada yang tertanya-tanya apabila membaca tajuk entri saya kali ini. Apa yang berlaku kepada imbuhan awalan 'beR-' dalam kata kerja? Rasanya sama sahaja seperti dahulu tanpa sebarang perubahan. Hahahahahah... 

Imbuhan awalan 'beR-' ini boleh digabungkan dengan keempat-empat golongan kata utama iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan kata tugas. Fokus kupasan isu hari ini hanya berkisar tentang imbuhan awalan 'beR-' dalam kata kerja. Menurut Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa, dan Abdul Hamid Mahmood (2008, 161), perkataan yang menerima awalan ini menjadi kata kerja yang bersifat tak transitif, sama ada yang memerlukan pelengkap atau yang tidak memerlukan pelengkap.

Nik Safiah Karim et.al (2008, 162) telah menggariskan beberapa panduan dalam menentukan gabungan awalan 'beR-' ini dengan perkataan yang mengikutinya. Apabila 'beR-' bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf 'r', dua 'r' yang bergabung itu akan berubah menjadi satu 'r' melalui proses peleburan bunyi. Contohnya:
  • ber + rasa = berasa
  • ber + renang = berenang
  • ber _ raja = beraja
  • ber + rendam = berendam
Satu lagi garis panduan yang diberi oleh Nik Safiah Karim et.al (2008, 162), ialah apabila awalan 'beR-' bergabung dengan perkataan yang konsonan awalnya diikuti oleh -er. Contohnya 'derma'. 'r' dalam awalan 'beR-' tidak akan gugur. Walaupun demikian, sarjana-sarjana ini telah menyatakan bahawa terdapat kecenderungan bagi setengah-setengah penutur menggugurkan 'r' dalam awalan 'beR-' dalam pengucapan lisan, tetapi tidak digugurkan dalam ejaan. Contohnya:
  • ber + derma = berderma
  • ber + serban = berserban
Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga yang  digarap oleh Nik Safiah Karim et.al (2008) ini dilihat sebagai satu wacana yang baik untuk dirujuk oleh pelbagai lapisan masyarakat yang ingin mendalami bahasa Melayu dengan lebih dekat. Walaupun demikian, 'kekecualian-kekecualian' yang dinyatakan di dalam buku ini telah menyebabkan beberapa pembaca berasa kecewa dan dibelenggu tanda tanya yang tidak berkesudahan. Tajuk yang diperkatakan dalam penulisan kali ini juga tidak terlepas daripada kekecualian ini. 

Menurut Nik Safiah Karim  et.al (2008. 162),  perkataan 'kerja' yang dieja 'bekerja' ialah satu kekecualian. Begitu juga dengan perkataan 'ajar' dan 'unjur'. gabungan 'beR-' dengannya menghasilkan bentuk kekecualian iaitu 'belajar' dan 'belunjur'. Kekecualian ini pasti memberi impak yang besar kepada guru-guru sewaktu mengajar imbuhan 'beR-' ini kepada pelajar di sekolah terutamanya murid sekolah rendah.

Dari perspektif kefahaman saya, timbul tanda tanya mengapa terjadinya kekecualian tersebut. Hasil rujukan yang dibuat ke atas dua lagi buku yang lantang membahaskan tentang bidang sintaksis iaitu Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat oleh Asmah Haji Omar (1993) dan Pelita Bahasa Penggal I-III Edisi Baharu oleh Zainal Abidin Ahmad (2000) telah membawa kepada pertemuan jawapan kepada tanda tanya ini. 

Menurut Zainal Abidin Ahmad (2000, 84), 'beR-' tidak akan digugurkan pada  perkataan asal yang tidak berawalkan huruf 'r' atau tidak mengandungi bunyi 'r' mati kecuali penambah 'beR-' dan 'peR-' pada dua atau tiga perkataan yang berawalan 'l'. Melalui huraian beliau, dapat dilihat dengan jelas bahawa huruf 'r' yang terdapat pada 'beR-' akan digugurkan pada hanya dua atau tiga perkataan yang berawalan 'l'. Contoh yang diberi adalah seperti berikut:
  • belayar
  • belajar
Penerangan yang dibuat oleh Zainal Abidin Ahmad (2008,84) ini boleh diperkukuhkan lagi dengan penulisan Asmah Omar (1993, 124) tentang isu 'bekerja' dan 'belajar' ini. Menurut Asmah Omar (1993, 124), pengimbuhan pada 'bekerja' dan 'belajar' disyaratkan oleh kata dasarnya. Hal ini bermaksud,  pengimbuhan ini disyaratkan  oleh ciri leksikal, sedangkan pengimbuhan yang lain ditentukan oleh ciri fonologi. Selain itu, Asmah Omar (1993, 124) juga meramalkan bahawa besar kemungkinan perkataan 'bekerja' yang ditranskripsikan dari tulisan Jawi adalah catatan langsung dari bahasa lisan kerana terlalu kerap digunakan dalam kehidupan seharian.

Bagi perkataan belajar pula, Asmah Omar (1993, 124) menyatakan bahawa perkataan ini mewakili proses morfologi yang lama dengan mengizinkan adanya imbuhan 'bel-' di hadapan vokal. Awalan 'beR-' ini dikatakan mempunyai fungsi sebagai penetap dan juga sebagai penggubah golongan.

Kesimpulannya, imbuhan awalan 'beR-' ini harus difahami dan diajar dengan teliti oleh guru kepada murid-murid agar tidak berlaku salah faham yang menyebabkan penggunaan yang salah bukan sahaja dalam bentuk lisan malah melalui penulisan mereka.

Rujukan:

Asmah Omar. (1993). Nahu Melayu mutakhir edisi keempat. Selangor: Dewan Bahasa dan
          Pustaka.
Nik Safiah Karim et. al. (2008). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Selangor: Dewan Bahasa
          dan Pustaka.
Zainal Abidin Ahmad. (2000). Pelita bahasa Melayu penggal I-III edisi baharu. Selangor: 
          Sasyaz Holdings Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment