Tajuk yang dipilih bagi isu keempat ini sudah cukup membuatkan diri penulis sendiri tidak senang duduk. Pemilihan tajuk ini sebenarnya bertitik-tolak daripada bacaan yang dibuat ke atas sebuah lagi karya sarjana bahasa yang terulung iaitu Nik Safiah Karim (2007) yang bertajuk 'Liku-liku Bahasa : Ke arah Penggunaan Bahasa yang Baik, Betul, dan Indah'.
Dalam karyanya, Nik Safiah Karim (2007) telah memperihalkan tentang ayat tanya dalam subtajuk 'Liku-liku Ayat Tanya' dengan gaya yang tersendiri. Walaupun demikian, intipatinya lebih mudah difahami pembaca berbanding penulisan tentang ayat tanya dalam tiga lagi karya agung bahasa Melayu iaitu Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat (1993) dan Pelita Bahasa Melayu Penggal I-III edisi Baharu (2000).
Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal dengan menggunakan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu (seperti yang dipetik dalam Nik Safiah Karim (2007, 129). Beliau telah membahagikan ayat tanya ini kepada dua kategori iaitu :
i) Ayat tanya tanpa kata tanya
ii) Ayat tanya dengan kata tanya
Bagi ayat tanya dengan kata tanya, kehadirannya lebih mudah disedari melalui kewujudan unsur-unsur apa, siapa, bila, di mana, bagaimana dan mengapa. Nik Safiah Karim (2007, 131) telah menggunakan kata tanya 'sejak bila' bagi menzahirkan persoalan 'bila'. Unsur-unsur kata tanya ini telah diperkenalkan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Menariknya, terdapat golongan pendidik yang sanggup mencipta akronim yang unik bagi memudahkan proses mengingati kata tanya ini. Terimbau semula memori bersama seorang guru bahasa Melayu di sebuah sekolah kebangsaan di utara tanah air. Beliau telah menggunakan akronim yang berbunyi 'ASIBIDIBAM' yang terdiri daripada kata tanya 'apa, siapa, bila, di mana, bagaimana dan mengapa'. Ayat tanya yang dibina dengan menggunakan kata tanya ini akan menduduki unsur predikat (seperti yang dipetik dalam Nik Safiah Karim, 2007, 132). Contohnya adalah seperti berikut:
- Harga buku ini berapa?
- Majlis itu akan diadakan bila?
- Anak kecil itu menangis kenapa?
Walaupun demikian, unsur-unsur kata tanya ini akan mengalami proses pendepanan untuk menghasilkan ayat yang lebih gramatis seperti berikut:
- Berapa harga buku ini?
- Bila majlis itu akan diadakan?
- Kenapa anak kecil itu menangis?
Usai menjalani proses pendepanan, ayat tanya ini akan mengalami satu lagi pembaharuan melalui penambahan partikel '-kah' pada unsur yang dikedepankan. Motif penambahan partikel '-kah' ini ialah bagi membentuk bahasa tulisan (Nik Safiah Karim, 2007, 132). Contohnya:
- Berapakah harga buku ini?
- Bilakah majlis itu akan diadakan?
- Kenapakah anak kecil itu menangis?
Partikel '-kah' ini juga bukan sahaja dimuatkan dalam unsur kata tanya tetapi turut digunakan dalam ayat tanya tanpa kata tanya. Menurut Nik Safiah Karim (2007, 131), partikel '-kah' diletakkan pada predikat ayat atau bahagian-bahagian predikat ayat yang difokuskan kemudiannya dikedepankan. Contohnya:
- Sudah pergi ke perpustakaankah Nana?
- Puan Rosnahkah Ketua Jabatan itu?
- Semakin meningkatkah prestasinya?
Isu yang menjadi persoalan kini ialah berkaitan penggunaan partikel '-kah'. Mengapa partikel '-kah' yang dipilih untuk diletakkan bersama unsur kata tanya dan bahagian predikat ayat yang difokuskan? Walhal masih terdapat dua lagi partikel dalam bahasa Melayu seperti partikel '-lah' dan '-tah'. Dalam penulisan yang bertajuk 'Liku-liku Ayat Tanya' ini, Nik Safiah Karim (2007, 128-134) hanya membicarakan tentang partikel '-kah' sahaja tanpa mennyentuh dua lagi partikel yang wujud dalam bahasa Melayu ini.
Dalam Tatabahasa Dewan Edisi Keempat (2008, 261), Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa dan Abdul Hamid Mahmood ada membahaskan tentang tajuk kata penegas yang mengandungi penceritaan tentang pengunaan partikel '-kah', '-tah' dan '-lah' dengan betul. Menurut sarjana-sarjana bahasa ini, bentuk yang menerima partikel-partikel '-kah', '-tah' dan '-lah' ini mesti dikedepankan dan merupakan bentuk pascafrasa. Dalam karya agung ini juga, Nik Safiah Karim et.al (2008, 261) turut memberi contoh yang mengandungi kata tanya dan gabungannya dengan partikel selain daripada '-kah' seperti berikut:
- Apatah daya kita?
Berdasarkan penelitian yang dibuat, huraian Nik Safiah Karim (2007) dalam buku 'Liku-liku Bahasa: Ke arah Penggunaan Bahasa yang Baik, Betul, dan Indah' lebih jelas tentang ayat tanya dan kata tanya berbanding hujah-hujah Nik Safiah Karim et.al (2008) dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Walapun begitu, kedua-dua rujukan terkemuka ini tidak membahaskan tentang faktor atau alasan pemilihan partikel '-kah' sebagai penambah kepada unsur kata tanya yang dikedepankan dan bahagian predikat yang difokuskan. Apakah perkara ini juga dianggap sebagai kekecualian dalam bahasa Melayu?
Rujukan:
Asmah Omar. (1993). Nahu Melayu mutakhir edisi keempat. Selangor: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Nik Safiah Karim. ( 2007). Liku-liku bahasa: ke arah penggunaan bahasa yang baik, betul,
dan indah. Shah Alam: K. Publishing.
Nik Safiah Karim et. al. (2008). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Selangor: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Zainal Abidin Ahmad. (2000). Pelita bahasa Melayu penggal I-III edisi baharu. Selangor:
Sasyaz Holdings Sdn. Bhd.
assalamualaikum puan, bagaimana pula dengan penjelasan untuk penggunaan kata sempang dalam buku Liku-liku bahasa? boleh puan berikan penjelasan tentang penggunaan kata sempang ini berserta bukti daripada buku Liku-liku bahasa?
ReplyDeleteTerima kasih.