![]() |
Kacak dan bergaya (sekadar gambar hiasan) |
Berita Harian Online hari ini telah memaparkan satu artikel santai di sudut ruangan Berita Premium akhbar dalam taliannya. Laporannya hanya beberapa baris sahaja namun perkara yang berjaya 'menarik bola mata' untuk memfokuskan sesuatu ialah pada tajuknya.
"Saya bukan pelawak kasanova"-Zizan.
Tajuk ini mengandungi sesuatu yang menarik untuk dikupas dalam penulisan hari ini. Saya tertarik dengan perkataan 'bukan' yang digunakan pelawak ini untuk menggambarkan dirinya yang sebenar.
'Bukan' merupakan salah satu elemen yang terdapat dalam 'kata nafi'. Selain daripada perkataan 'bukan', satu lagi perkataan yang berada dalam golongan yang sama ialah 'tidak'. Menurut Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2008, 262) dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata nafi hanya hadir sebelum frasa ialah perkataan yang menjadi unsur nafi frasa-frasa predikat, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Sarjana-sarjana bahasa ini telah memperihalkan cara dan situasi sepatutnya bagi penggunaan kedua-dua kata nafi ini.
i) Kata nafi 'bukan' menjadi unsur nafi frasa nama dan frasa sendi nama. Contohnya:
- Makanan itu bukan untuk Ratna.
- Projek itu bukan usaha saya.
ii) Kata nafi 'tidak' menjadi unsur nafi bagi frasa kerja dan frasa adjektif. Contohnya:
- Bapanya tidak turun ke sawah hari ini.
- Bandar itu tidak besar sangat.
Berdasarkan penelitian yang dibuat, tajuk artikel yang diperkatakan di awal penulisan saya iaitu 'saya bukan pelawak kasanova' boleh dikategorikan dalam golongan yang pertama kerana unsur yang hadir selepas kata nafi 'bukan' ialah frasa nama.
Setelah pemerihalan isu penentuan kata nafi 'bukan' dan 'tidak' ini hampir-hampir dihadam, Nik Safiah Karim et. al (2008, 263) kemudiannya telah menyatakan tentang kekecualian bagi penggunaan kata nafi 'bukan' pada akhir-akhir penulisannya tentang tajuk kata nafi ini. Menurut sarjana-sarjana ini, kata nafi 'bukan' boleh juga hadir sebelum frasa kerja dan frasa adjektif jika kedua-dua frasa tersebut mendukung maksud 'pertentangan maklumat'. Contohnya:
- Pak Ali bukan kaya sangat, tetapi pemurah orangnya.
- Ucapannya bukan menghina kita, tetapi sekadar mengingatkan kita.
Hal ini telah membangkitkan satu demi satu persoalan dibenak. Kenapa perlu dibeza-bezakan penggunaannya jika akhirnya akan berlaku kekecualian pada bahagian-bahagian tertentu penggunaannya? Mengapa tidak digunakan sahaja kedua-dua kata nafi ini tanpa membeza-bezakan frasa yang mengikutinya?
Walau bagaimanapun, pemerihalan tentang kata nafi dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) ini dilihat lebih relevan jika dibandingkan dengan pemerihalan Asmah Omar (1993,158-165) dalam Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat. Asmah Omar (1993,158) dalam penulisannya telah membahagikan kata nafi ini ke dalam dua cabang subgolongan yang lebih besar iaitu:
i) Kata nafi perintah
- jangan
- tak usah
- tidak usah
- usah
ii) Kata nafi bukan perintah
- kata nafi bantu (tidak, tak, bukan)
- kata nafi kerja (tiada, enggan, entah, kurang)
Pembahagian kata nafi kepada subgolongan ini akan menyebabkan terlalu banyak kesalahan tatabahasa yang bakal dilakukan oleh murid serta pelajar dalam penulisan mereka. Bukan golongan penuntut sahaja yang bakal berhadapan dengan masalah 'kesalahan tatabahasa' ini, malahan golongan karyawan seperti penulis novel, penulis blog (blogger), pembaca berita, wartawan dan sebagainya juga bakal menghadapi cabaran besar dalam kerjaya mereka.
Kesimpulannya, kehadiran kata nafi ini tidak perlu dibeza-bezakan kehadirannya. Kedua-duanya membawa maksud serta erti yang sama. Penggunaannya wajar ditentukan oleh pengguna sendiri berdasarkan konteks ayat yang ingin dibina atau diujarkan. Wallahualam.
Rujukan:
Rujukan:
Asmah Omar. (1993). Nahu Melayu mutakhir edisi keempat. Selangor: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Nik Safiah Karim et. al. (2008). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Selangor: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment