Monday, 13 April 2015

ISU 6 : SUKARNYA ADIK-ADIK BELAJAR TATABAHASA!

Isu 6 : Sukarnya Adik-adik Belajar Tatabahasa!

Tatkala jari seronok menggerakkan butang tetikus sambil mata liar membaca coretan rakan-rakan di laman 'Facebook', tiba-tiba... (Sambung ayat ini sehingga membentuk sebuah karangan lengkap).

Tiba-tiba mata tertancap pada satu gambar yang telah dikongsi oleh seorang rakan di laman 'Facebook' miliknya. Apa? Abdullah Hassan! Teruja. Secepat kilat tangan terus menekan kekunci tetikus bagi membolehkan penulisan sarjana ini dapat dibaca. Berikut merupakan intipati gambar yang telah dikongsi beliau dalam laman 'Facebook' miliknya.

Perkongsian santai oleh Prof. Abdullah Hassan.
Sebenarnya sudah lama isu ini terdetik dihati. Tanpa disangka rupanya ramai lagi pencinta ilmu serta pendidik yang turut peka dengan situasi seperti yang dibangkitkan oleh Prof. Abdullah Hassan. 

Jika diamati sedalam-dalamnya, pendidikan era globalisasi kini jauh lebih mencabar berbanding zaman dahulu. Terlalu banyak pembaharuan yang cuba diketengahkan oleh pemimpin-pemimpin sehingga banyak perkara 'tergelincir' daripada landasannya. Bukan niat saya untuk menghasut atau mempertikai kemampuan pemimpin negara menggubal kurikulum terkini, namun sebagai seorang pendidik, saya juga mengalami kesukaran dalam menghuraikan maksud malah proses mengaitkan pelajaran dengan keadaan sekeliling menjadi terlalu rumit.

Lihat saja perkataan atau unsur tatabahasa yang terdapat dalam gambar yang dikongsi oleh Prof. Abdullah Hassan. Tidak tercapai akal bagaimana seorang guru dapat menghuraikan perkataan tersebut kepada murid-muridnya yang masih kecil dan mentah.
  • Digraf
  • Diftong
  • Vokal Berganding
  • Konsonan Bergabung
Keempat-empat unsur tatabahasa ini mula diperkenalkan kepada saya pada peringkat sekolah menengah. Perkongsian Prof. Abdullah Hassan benar-benar membuka mata bahawasanya terlalu sukar pelajaran yang terpaksa ditempuhi anak-anak kecil kini sejak di peringkat sekolah rendah lagi.

Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2008, 210), digraf bermaksud konsonan rangkap atau gabungan huruf konsonan yang masing-masing melambangkan satu bunyi konsonan. Terdapat lima digraf dalam bahasa Melayu iaitu 'gh', 'kh', 'ng', 'ny' dan 'sy'. Diftong pula ialah huruf yang dibunyikan secara geluncuran (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008, 211). Terdapat tiga fonem diftong yang dilambangkan oleh tiga pasang huruf vokal iaitu 'ai', 'au' dan 'oi'. Vokal berganding pula berlaku apabila dua huruf vokal terletak bersebelahan tetapi sebutannya secara terpisah. Contohnya, 'air', 'aur', 'kain', 'radio' dan banyak lagi.  Begitu juga dengan konsonan bergabung yang membawa maksud dua huruf konsonan yang hadir berturut-turut dan mewakili satu bunyi. Contohnya, 'aiskrim', 'blok', 'stor', 'brek' dan pelbagai lagi.

Setelah meneliti satu demi satu definisi perkataan-perkataan ini, timbul satu persoalan di fikiran. Apakah cara terbaik yang boleh digunakan oleh para pendidik bagi menerangkan perkataan-perkataan ini kepada pelajar di sekolah? Pengsan. Jika guru dapat menghuraikannya sekalipun, adakah murid benar-benar faham akan maksud setiap satunya?

Oleh itu, amatlah tidak wajar kurikulum sebegini diperkenalkan terlalu awal kepada murid-murid di sekolah rendah. Terlalu banyak masalah yang akan timbul berbanding kebaikan. Alang-alang satu nama besar seperti Prof. Abdullah Hassan ini telah bersuara, mengapa tidak pihak berwajib cuba mengorak langkah bagi mengkaji semula serta membaik pulih kurikulum baharu yang terlalu membebankan ini.

Rujukan:

Nik Safiah Karim et. al. (2008). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Selangor: Dewan Bahasa
          dan Pustaka.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2008). Bahasa Melayu I. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.




Sunday, 12 April 2015

ISU 5 : APA SUDAH TERJADI DENGAN IMBUHAN AWALAN 'beR-' DALAM KATA KERJA?

Isu 5 : Apa Sudah Terjadi dengan Imbuhan Awalan 'beR-' dalam Kata Kerja?

Apa dah jadi...
Apa dah jadi...
Sampai sekarang..
Tak kahwin lagi...

Seronoknya menyanyi. Rasa hilang segala gundah gulana di dalam hati tatkala mengadap tugasan-tugasan yang bertimbun. Jangan terpedaya. Penulis sudah berpunya dan telah bergelar 'Puan' dengan jayanya pada tahun lalu :). Nyanyian sekadar 'pembuka tirai' kepada isu yang bakal dikupas pada hari ini. 

Imbuhan awalan 'beR-' telah diperkenalkan oleh guru-guru sejak di sekolah kebangsaan lagi. Tidak mustahil jika ada yang tertanya-tanya apabila membaca tajuk entri saya kali ini. Apa yang berlaku kepada imbuhan awalan 'beR-' dalam kata kerja? Rasanya sama sahaja seperti dahulu tanpa sebarang perubahan. Hahahahahah... 

Imbuhan awalan 'beR-' ini boleh digabungkan dengan keempat-empat golongan kata utama iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan kata tugas. Fokus kupasan isu hari ini hanya berkisar tentang imbuhan awalan 'beR-' dalam kata kerja. Menurut Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa, dan Abdul Hamid Mahmood (2008, 161), perkataan yang menerima awalan ini menjadi kata kerja yang bersifat tak transitif, sama ada yang memerlukan pelengkap atau yang tidak memerlukan pelengkap.

Nik Safiah Karim et.al (2008, 162) telah menggariskan beberapa panduan dalam menentukan gabungan awalan 'beR-' ini dengan perkataan yang mengikutinya. Apabila 'beR-' bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf 'r', dua 'r' yang bergabung itu akan berubah menjadi satu 'r' melalui proses peleburan bunyi. Contohnya:
  • ber + rasa = berasa
  • ber + renang = berenang
  • ber _ raja = beraja
  • ber + rendam = berendam
Satu lagi garis panduan yang diberi oleh Nik Safiah Karim et.al (2008, 162), ialah apabila awalan 'beR-' bergabung dengan perkataan yang konsonan awalnya diikuti oleh -er. Contohnya 'derma'. 'r' dalam awalan 'beR-' tidak akan gugur. Walaupun demikian, sarjana-sarjana ini telah menyatakan bahawa terdapat kecenderungan bagi setengah-setengah penutur menggugurkan 'r' dalam awalan 'beR-' dalam pengucapan lisan, tetapi tidak digugurkan dalam ejaan. Contohnya:
  • ber + derma = berderma
  • ber + serban = berserban
Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga yang  digarap oleh Nik Safiah Karim et.al (2008) ini dilihat sebagai satu wacana yang baik untuk dirujuk oleh pelbagai lapisan masyarakat yang ingin mendalami bahasa Melayu dengan lebih dekat. Walaupun demikian, 'kekecualian-kekecualian' yang dinyatakan di dalam buku ini telah menyebabkan beberapa pembaca berasa kecewa dan dibelenggu tanda tanya yang tidak berkesudahan. Tajuk yang diperkatakan dalam penulisan kali ini juga tidak terlepas daripada kekecualian ini. 

Menurut Nik Safiah Karim  et.al (2008. 162),  perkataan 'kerja' yang dieja 'bekerja' ialah satu kekecualian. Begitu juga dengan perkataan 'ajar' dan 'unjur'. gabungan 'beR-' dengannya menghasilkan bentuk kekecualian iaitu 'belajar' dan 'belunjur'. Kekecualian ini pasti memberi impak yang besar kepada guru-guru sewaktu mengajar imbuhan 'beR-' ini kepada pelajar di sekolah terutamanya murid sekolah rendah.

Dari perspektif kefahaman saya, timbul tanda tanya mengapa terjadinya kekecualian tersebut. Hasil rujukan yang dibuat ke atas dua lagi buku yang lantang membahaskan tentang bidang sintaksis iaitu Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat oleh Asmah Haji Omar (1993) dan Pelita Bahasa Penggal I-III Edisi Baharu oleh Zainal Abidin Ahmad (2000) telah membawa kepada pertemuan jawapan kepada tanda tanya ini. 

Menurut Zainal Abidin Ahmad (2000, 84), 'beR-' tidak akan digugurkan pada  perkataan asal yang tidak berawalkan huruf 'r' atau tidak mengandungi bunyi 'r' mati kecuali penambah 'beR-' dan 'peR-' pada dua atau tiga perkataan yang berawalan 'l'. Melalui huraian beliau, dapat dilihat dengan jelas bahawa huruf 'r' yang terdapat pada 'beR-' akan digugurkan pada hanya dua atau tiga perkataan yang berawalan 'l'. Contoh yang diberi adalah seperti berikut:
  • belayar
  • belajar
Penerangan yang dibuat oleh Zainal Abidin Ahmad (2008,84) ini boleh diperkukuhkan lagi dengan penulisan Asmah Omar (1993, 124) tentang isu 'bekerja' dan 'belajar' ini. Menurut Asmah Omar (1993, 124), pengimbuhan pada 'bekerja' dan 'belajar' disyaratkan oleh kata dasarnya. Hal ini bermaksud,  pengimbuhan ini disyaratkan  oleh ciri leksikal, sedangkan pengimbuhan yang lain ditentukan oleh ciri fonologi. Selain itu, Asmah Omar (1993, 124) juga meramalkan bahawa besar kemungkinan perkataan 'bekerja' yang ditranskripsikan dari tulisan Jawi adalah catatan langsung dari bahasa lisan kerana terlalu kerap digunakan dalam kehidupan seharian.

Bagi perkataan belajar pula, Asmah Omar (1993, 124) menyatakan bahawa perkataan ini mewakili proses morfologi yang lama dengan mengizinkan adanya imbuhan 'bel-' di hadapan vokal. Awalan 'beR-' ini dikatakan mempunyai fungsi sebagai penetap dan juga sebagai penggubah golongan.

Kesimpulannya, imbuhan awalan 'beR-' ini harus difahami dan diajar dengan teliti oleh guru kepada murid-murid agar tidak berlaku salah faham yang menyebabkan penggunaan yang salah bukan sahaja dalam bentuk lisan malah melalui penulisan mereka.

Rujukan:

Asmah Omar. (1993). Nahu Melayu mutakhir edisi keempat. Selangor: Dewan Bahasa dan
          Pustaka.
Nik Safiah Karim et. al. (2008). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Selangor: Dewan Bahasa
          dan Pustaka.
Zainal Abidin Ahmad. (2000). Pelita bahasa Melayu penggal I-III edisi baharu. Selangor: 
          Sasyaz Holdings Sdn. Bhd.

ISU 4 : LIKU-LIKU AYAT TANYA

Isu 4 : Liku-liku Ayat Tanya


Tajuk yang dipilih bagi isu keempat ini sudah cukup membuatkan diri penulis sendiri tidak senang duduk. Pemilihan tajuk ini sebenarnya bertitik-tolak daripada bacaan yang dibuat ke atas sebuah lagi karya sarjana bahasa yang terulung iaitu Nik Safiah Karim (2007) yang bertajuk 'Liku-liku Bahasa : Ke arah Penggunaan Bahasa yang Baik, Betul, dan Indah'. 

Dalam karyanya, Nik Safiah Karim (2007) telah memperihalkan tentang ayat tanya dalam subtajuk 'Liku-liku Ayat Tanya' dengan gaya yang tersendiri. Walaupun demikian, intipatinya lebih mudah difahami pembaca berbanding penulisan tentang ayat tanya dalam tiga lagi karya agung bahasa Melayu iaitu Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat (1993) dan Pelita Bahasa Melayu Penggal I-III edisi Baharu (2000).

Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal dengan menggunakan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu (seperti yang dipetik dalam Nik Safiah Karim (2007, 129). Beliau telah membahagikan ayat tanya ini kepada dua kategori iaitu :

i) Ayat tanya tanpa kata tanya
ii) Ayat tanya dengan kata tanya

Bagi ayat tanya dengan kata tanya,  kehadirannya lebih mudah disedari melalui kewujudan unsur-unsur apa, siapa, bila, di mana, bagaimana dan mengapa. Nik Safiah Karim (2007, 131) telah menggunakan kata tanya 'sejak bila' bagi menzahirkan persoalan 'bila'. Unsur-unsur kata tanya ini telah diperkenalkan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Menariknya, terdapat golongan pendidik yang sanggup mencipta akronim yang unik bagi memudahkan proses mengingati kata tanya ini. Terimbau semula memori bersama seorang guru bahasa Melayu di sebuah sekolah kebangsaan di utara tanah air. Beliau telah menggunakan akronim yang berbunyi 'ASIBIDIBAM' yang terdiri daripada kata tanya 'apa, siapa, bila, di mana, bagaimana dan mengapa'. Ayat tanya yang dibina dengan menggunakan kata tanya ini akan menduduki unsur predikat (seperti yang dipetik dalam Nik Safiah Karim, 2007, 132). Contohnya adalah seperti berikut:
  • Harga buku ini berapa?
  • Majlis itu akan diadakan bila?
  • Anak kecil itu menangis kenapa?
Walaupun demikian, unsur-unsur kata tanya ini akan mengalami proses pendepanan  untuk menghasilkan ayat yang lebih gramatis seperti berikut:
  • Berapa harga buku ini?
  • Bila majlis itu akan diadakan?
  • Kenapa anak kecil itu menangis?
Usai menjalani proses pendepanan, ayat tanya ini akan mengalami satu lagi pembaharuan melalui penambahan partikel  '-kah' pada unsur yang dikedepankan. Motif penambahan partikel '-kah' ini ialah bagi membentuk bahasa tulisan (Nik Safiah Karim, 2007, 132). Contohnya:
  • Berapakah harga buku ini?
  • Bilakah majlis itu akan diadakan?
  • Kenapakah anak kecil itu menangis?
Partikel '-kah' ini juga bukan sahaja dimuatkan dalam unsur kata tanya tetapi turut digunakan dalam ayat tanya tanpa kata tanya. Menurut Nik Safiah Karim (2007, 131), partikel '-kah' diletakkan pada predikat ayat atau bahagian-bahagian predikat ayat yang difokuskan kemudiannya dikedepankan. Contohnya:
  • Sudah pergi ke perpustakaankah Nana?
  • Puan Rosnahkah Ketua Jabatan itu?
  • Semakin meningkatkah prestasinya?
Isu yang menjadi persoalan kini ialah berkaitan penggunaan partikel '-kah'. Mengapa partikel '-kah' yang dipilih untuk diletakkan bersama unsur kata tanya dan bahagian predikat ayat yang difokuskan? Walhal masih terdapat dua lagi partikel dalam bahasa Melayu seperti partikel '-lah'  dan '-tah'. Dalam penulisan yang bertajuk 'Liku-liku Ayat Tanya' ini, Nik Safiah Karim (2007, 128-134) hanya membicarakan tentang partikel '-kah' sahaja tanpa mennyentuh dua lagi partikel yang wujud dalam bahasa Melayu ini. 

Dalam Tatabahasa Dewan Edisi Keempat (2008, 261), Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa dan Abdul Hamid Mahmood ada membahaskan tentang tajuk kata penegas yang mengandungi penceritaan tentang pengunaan partikel '-kah', '-tah' dan '-lah' dengan betul. Menurut sarjana-sarjana bahasa ini, bentuk yang menerima partikel-partikel '-kah', '-tah' dan '-lah' ini mesti dikedepankan dan merupakan bentuk pascafrasa. Dalam karya agung ini juga, Nik Safiah Karim et.al (2008, 261) turut memberi contoh yang mengandungi kata tanya dan gabungannya dengan partikel selain daripada '-kah' seperti berikut:
  • Apatah daya kita?
Berdasarkan penelitian yang dibuat, huraian Nik Safiah Karim (2007) dalam buku 'Liku-liku Bahasa: Ke arah Penggunaan Bahasa yang Baik, Betul, dan Indah' lebih jelas tentang ayat tanya dan kata tanya berbanding hujah-hujah Nik Safiah Karim et.al (2008) dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Walapun begitu, kedua-dua rujukan terkemuka ini tidak membahaskan tentang faktor atau alasan pemilihan partikel '-kah' sebagai penambah kepada unsur kata tanya yang dikedepankan dan bahagian predikat yang difokuskan. Apakah perkara ini juga dianggap sebagai kekecualian dalam bahasa Melayu?

Rujukan:


Asmah Omar. (1993). Nahu Melayu mutakhir edisi keempat. Selangor: Dewan Bahasa dan
          Pustaka.
Nik Safiah Karim. ( 2007). Liku-liku bahasa: ke arah penggunaan bahasa yang baik, betul,  
          dan indah. Shah Alam: K. Publishing.
Nik Safiah Karim et. al. (2008). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Selangor: Dewan Bahasa
          dan Pustaka.
Zainal Abidin Ahmad. (2000). Pelita bahasa Melayu penggal I-III edisi baharu. Selangor: 
          Sasyaz Holdings Sdn. Bhd.

Friday, 10 April 2015

ISU 3 : KEGELINCIRAN TRANSFORMASI KATA GANTI NAMA DIRI (1) DAN (2)

Isu 3 : Kegelinciran Transformasi Kata Ganti Nama Diri (1) dan (2).

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2008,102) telah menyatakan bahawa kata ganti nama boleh dibahagikan kepada dua golongan kecil, iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Sarjana-sarjana bahasa ini kemudiaannya menambah, kata ganti nama tunjuk boleh dibahagikan kepada kata ganti nama tunjuk umum dan kata ganti nama tunjuk tempat. Kata ganti nama pula dibahagikan kepada kata ganti nama diri orang dan kata ganti nama diri tanya. Tambah mereka lagi, kata ganti diri orang pula terdiri daripada kata ganti nama diri orang pertama, kedua dan ketiga. Penulisan kali ini lebih cenderung ke arah kata ganti nama diri pertama dan kedua.

Terkenang memori suatu masa dahulu sewaktu mengajar murid-murid berbangsa Cina di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). 

Cikgu Sarah : Siapa yang belum hantar buku tatabahasa?
Murid 1 : Cikgu, aku cikgu! Aku belum siap soalan bahagian B.
Murid 2 : Aku dah hantar cikgu. 
Cikgu Sarah : Apa? Aku? #$%#@@## (Leteran bercampur nasihat)

Membulat kedua-dua biji mata bagai ingin tersembul keluar dari tapaknya. 'Aku' yang digunakan sebagai ganti nama diri pertama yang diujarkan oleh kedua-dua murid ini cukup menyentak gegendang telinga seorang guru novis yang baharu berkhidmat selama seminggu di sekolah tersebut. Bukan mudah untuk mengubah kebiasaan menjadi luar biasa. Pendekatan demi pendekatan yang cuba diketengahkan akhirnya membuahkan hasil. Murid-murid berbangsa Cina ini akhirnya bijak menggunakan kata ganti diri (1) dan (2) dengan baik mengikut situasi dan pemeran. 

Lain pula halnya di media-media sosial. Lebih banyak variasi kata ganti nama diri yang dizahirkan sehingga menjadi ikut-ikutan.  Contohnya:


Penggunaan kata ganti nama diri (1) dan (2) di laman sosial.

Penggunaan 'iols' dalam contoh di atas adalah untuk menggantikan kata ganti diri pertama iaitu 'aku' atau 'saya'. Perkataan 'iols' telah dijanakan daripada dua perkataan dalam bahasa Inggeris iaitu 'I' yang bermaksud 'saya' manakala 'ols' daripada perkataan 'all' yang bermaksud semua. Begitu juga dengan perkataan 'uols' yang hadir daripada perkataan 'you' dan dipermudahkan lagi menjadi 'u'. Perkataan tersebut kemudiannya digabungkan dengan 'ols' daripada perkataan asal 'all' untuk menggambarkan 'semua' atau 'kesemuanya'. Perubahan-perubahan inilah yang digelar sebagai 'kegelinciran transformasi kata ganti nama diri (1) dan (2)'. Transformasi dilihat semakin 'mengganas' apabila penggunaan perkataan 'uols' kemudiannya ditukar menjadi perkataan 'chuolss' seperti dalam contoh di bawah:

Perkataan 'chuolss' digunakan dalam konteks yang sama dengan 'uols' atau 'uolls'.

'Chuolls' dalam contoh ini sebenarnya membawa maksud 'uols' atau 'awak semua'. Entah dari mana kewujudan konsonan 'c' dan 'h' itu dipetik dan digabungkan dengan perkataan 'uols' atau 'uolls' yang lazimnya digunakan dalam media sosial. 

PERSOALANNYA:
  1. Bagaimana proses transformasi perkataan 'aku' boleh dilakukan sehingga membentuk sebuah frasa nama iaitu 'aku semua'.  
  2. Dari mana datangnya konsonan 'c' dan 'h' dalam perkataan 'chuolls' ini?
Hakikatnya, perkataan 'all' atau 'semua' ini hanya digunakan dengan kata ganti nama diri pertama iaitu 'we' dalam bahasa Inggeris yang membawa maksud 'kami'. 'we all' yang bermaksud 'kami semua' digunakan bagi menyatakan bilangan pemeran yang lebih daripada seorang ketika itu. Kekreatifan masyarakat Malaysia dalam era globalisasi kini telah berjaya mencipta perkataan baharu dan diguna pakai hampir setiap hari terutamanya sewaktu berada dalam kelompok rakan sebaya atau minat yang sama. Oleh hal demikian, penutur dilihat cuba untuk menyerap unsur yang terdapat dalam 'we all' atau 'kami semua' ke dalam semua kata ganti nama diri terutamanya 'I' yang bermaksud 'saya' sehingga membentuk perkataan 'iols' atau 'iolls' (saya semua). 

Jika dilihat daripada konteks penggunaannya, perkataan 'iols' ini lebih cenderung digunakan sewaktu penutur ingin berjenaka atau beramah mesra dengan teman rapatnya. Jarang sekali perkataan ini ditemui dalam perbualan untuk urusan jual beli atau sewaktu berbual dengan ibu dan bapa di rumah. Jangan terperanjat atau terkesima jika suatu hari nanti ada orang datang kepada anda dan menceritakan tentang orang lain dengan menggelar 'orang lain' tersebut sebagai 'they olls'.  Gosip mungkin berbunyi seperti ini di masa akan datang:

"Hei uolls...sini dekat. Iolls nak cerita pasal theyolls yang belajar kat USM tu...Hari-hari kena kunci tayar uolls...Padan muka. Siapa suruh theyolls tak beli sticker (pelekat)...Heheheheh..."

Kesimpulannya, 'uolls' atau 'uols' masih boleh dijejak serta difahami asal usulnya walaupun ternyata menyalahi hukum tatabahasa tetapi penggunaan 'iolls' dilihat tidak relevan dan mengundang pentafsiran makna yang berbeza-beza dalam kalangan pembaca atau pendengar. Bagi perkataan 'chuolss' pula, pentafsirannya agak sukar dilakukan kerana melibatkan gabungan dua huraf yang jauh menyimpang daripada memberi sebarang makna. Walaupun demikian, perkataan ini menarik jika dapat dihuraikan melalui perspektif fonetik dan fonologi.

Rujukan:

Asmah Omar. (1993). Nahu Melayu mutakhir edisi keempat. Selangor: Dewan Bahasa dan
          Pustaka.
Nik Safiah Karim et. al. (2008). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Selangor: Dewan Bahasa
          dan Pustaka.




Wednesday, 8 April 2015

ISU 2 : KEHADIRAN KATA NAFI

Isu 2 : Kehadiran Kata Nafi.

Kacak dan bergaya (sekadar gambar hiasan)
Berita Harian Online hari ini telah memaparkan satu artikel santai di sudut ruangan Berita Premium akhbar dalam taliannya. Laporannya hanya beberapa baris sahaja namun perkara yang berjaya 'menarik bola mata' untuk memfokuskan sesuatu ialah pada tajuknya.

"Saya bukan pelawak kasanova"-Zizan.

Tajuk ini mengandungi sesuatu yang menarik untuk dikupas dalam penulisan hari ini. Saya tertarik dengan perkataan 'bukan' yang digunakan pelawak ini untuk menggambarkan dirinya yang sebenar.

'Bukan' merupakan salah satu elemen yang terdapat dalam 'kata nafi'. Selain daripada perkataan 'bukan', satu lagi perkataan yang berada dalam golongan yang sama ialah 'tidak'. Menurut Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2008, 262) dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata nafi hanya hadir sebelum frasa ialah perkataan yang menjadi unsur nafi frasa-frasa predikat, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Sarjana-sarjana bahasa ini telah memperihalkan cara dan situasi sepatutnya bagi penggunaan kedua-dua kata nafi ini.

i) Kata nafi 'bukan' menjadi unsur nafi frasa nama dan frasa sendi nama. Contohnya:
  • Makanan itu bukan untuk Ratna.
  • Projek itu bukan usaha saya.
ii) Kata nafi 'tidak' menjadi unsur nafi bagi frasa kerja dan frasa adjektif. Contohnya:
  • Bapanya tidak turun ke sawah hari ini.
  • Bandar itu tidak besar sangat.
Berdasarkan penelitian yang dibuat, tajuk artikel yang diperkatakan di awal penulisan saya iaitu 'saya bukan pelawak kasanova' boleh dikategorikan dalam golongan yang pertama kerana unsur yang hadir selepas kata nafi 'bukan' ialah frasa nama.

Setelah pemerihalan isu penentuan kata nafi 'bukan' dan 'tidak' ini hampir-hampir dihadam, Nik Safiah Karim et. al (2008, 263) kemudiannya telah menyatakan tentang kekecualian bagi penggunaan kata nafi 'bukan' pada akhir-akhir penulisannya tentang tajuk kata nafi ini. Menurut sarjana-sarjana ini, kata nafi 'bukan' boleh juga hadir sebelum frasa kerja dan frasa adjektif jika kedua-dua frasa tersebut mendukung maksud 'pertentangan maklumat'. Contohnya:
  •  Pak Ali bukan kaya sangat, tetapi pemurah orangnya.
  • Ucapannya bukan menghina kita, tetapi sekadar mengingatkan kita.
Hal ini telah membangkitkan satu demi satu persoalan dibenak. Kenapa perlu dibeza-bezakan penggunaannya jika akhirnya akan berlaku kekecualian pada bahagian-bahagian tertentu penggunaannya? Mengapa tidak digunakan sahaja kedua-dua kata nafi ini tanpa membeza-bezakan frasa yang mengikutinya? 

Walau bagaimanapun, pemerihalan tentang kata nafi dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) ini dilihat lebih relevan jika dibandingkan dengan pemerihalan Asmah Omar (1993,158-165) dalam Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat. Asmah Omar (1993,158) dalam penulisannya telah membahagikan kata nafi ini ke dalam dua cabang subgolongan yang lebih besar iaitu:

i) Kata nafi perintah
  • jangan
  • tak usah
  • tidak usah
  • usah
ii) Kata nafi bukan perintah
  • kata nafi bantu (tidak, tak, bukan)
  • kata nafi kerja (tiada, enggan, entah, kurang)
Pembahagian kata nafi kepada subgolongan ini akan menyebabkan terlalu banyak kesalahan tatabahasa yang bakal dilakukan oleh murid serta pelajar dalam penulisan mereka. Bukan  golongan penuntut sahaja yang bakal berhadapan dengan masalah 'kesalahan tatabahasa' ini, malahan golongan karyawan seperti penulis novel, penulis blog (blogger), pembaca berita, wartawan dan sebagainya juga bakal menghadapi cabaran besar dalam kerjaya mereka.

Kesimpulannya, kehadiran kata nafi ini tidak perlu dibeza-bezakan kehadirannya. Kedua-duanya membawa maksud serta erti yang sama. Penggunaannya wajar ditentukan oleh pengguna sendiri berdasarkan konteks ayat yang ingin dibina atau diujarkan. Wallahualam.


Rujukan:
Asmah Omar. (1993). Nahu Melayu mutakhir edisi keempat. Selangor: Dewan Bahasa dan
          Pustaka.
Nik Safiah Karim et. al. (2008). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Selangor: Dewan Bahasa
          dan Pustaka.

Tuesday, 7 April 2015

ISU 1 : PEMERIAN PENJODOH BILANGAN PADA ISTILAH SAINTIFIK

Isu 1 : Pemerian Penjodoh Bilangan Pada Istilah Saintifik

'seekor molekul air menari-nari dengan pasangannya, sebilah atom sebelum bercantum'

Bahasa Melayu menggunakan sistemnya tersendiri untuk menyatakan golongan atau kuantiti sesuatu benda itu (Abdullah Hassan, 1989, 107). Keindahan bahasa Melayu memang sukar disangkal lagi. Jika bidang Sains dengan 'fatamorgananya', 'fotosintesisnya', 'hibernasinya' dan pelbagai lagi. Di mana kurangnya bahasa Melayu? Kita juga memiliki 'syahdu', 'canggung', 'menyeringai', 'bersekongkol' dan banyak lagi perkataan yang digelar 'big word'  dalam bahasa Inggeris. 

Demikian halnya dengan penjodoh bilangan. Tidak sukar untuk kita menentukan 'jodoh' kepada benda-benda maujud disekeliling kita melalui 'bilangan'. Kebiasaannya pemerian penjodoh bilangan dalam bahasa Melayu berbentuk bilangan + penjodoh bilangan+ benda. Contohnya seperti 'sekawan burung', 'sebiji epal', 'setandan pisang', 'sebuah kereta' dan  berbagai-bagai lagi. 

Persoalannya : 
Bagaimana pula dengan istilah-istilah Sains yang rata-ratanya sudah sebati digunakan bersama-sama bahasa Melayu?

Bolehkah kita memerikan 'elektron' dengan penjodoh bilangan 'seorang'? Benarkah 'ion' salah satu makhluk bernyawa yang digelar 'orang'? Ataupun 'sebiji ion'. Benarkah kehadiran ion itu hanya sebiji? Jika berjuta-juta, bagaimana untuk mengira 'biji-biji' ion tersebut? 'Sebiji rambutan' boleh dikenal pasti sama ada melalui penglihatan, sentuhan dan rasa. Bagaimana pula dengan 'ameba', 'sitoplasma', 'paramesium' dan berbagai-bagai lagi istilah Sains yang memiliki bunyi sebutan yang terlalu unik? Hendak dipandang juga sukar apa lagi untuk dipegang atau dirasa.

Menurut Abdullah Hassan (1989, 107), penjodoh bilangan boleh mengakibatkan pemesongan dan kekaburan dari segi logik dalam pengkelasan benda-benda mengikut ciri yang disifatkan oleh penjodoh bilangan tersebut. Melalui penulisan beliau, dapat disimpulkan bahawa tidaklah perlu terlampau taksub untuk memerikan istilah Sains sehingga melangkaui batas-batas logik akal fikiran. Sarjana bahasa ini menyatakan bahawa eloklah jika unsur penjodoh bilangan itu diketepikan dalam memerikan atau bercakap mengenai elektron, ion, atom, molekul dan sebagainya' (Abdullah Hassan, 1989, 108). 

Berat...Berat...Berat... Sampai bilakah kita akan disebungi misteri 'kekecualian' ini???

Rujukan :

Abdullah Hassan. (1989). Isu-isu perancangan bahasa: pengintelektualan bahasa Malaysia.
              Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.